Saturday, February 13, 2010

usTaZaH PoN Nok tAbaRruj JuGoK Ko??





Dialog dua bersahabat,
"Woi,demo napok dok ustazah tu? yang paka purdoh tu, alaa.. xkae x napok kot.. tunduk pandange la konong. tra mung tengok baju dio, meghelit-ghelit (berkilau), macam lapu lip-lap hok oghe pase time rayo tu. Buleh buat bini, aku raso dio ni.."


Dialog seorang diri (monolog),
"Dio ni doh la paka jubah, tudung labuh, fesyen baju dio pon jenih up to date nih. Aduh, ghano nih? Yang minah tadi ok lagi, tp ustzah ni aku raso mace nok tgok jugok, Ya Allah! kuatkan ime aku ya Allah!"

Dialog anak murid kepada ustazahnya,
"Ustazah, sayo nok tanyo satu soale.. tadi ustazah kato xleh tabarruj, bakpo sayo tengok ustazah pon napok mace tabarruj jah?(pedah soale).. kalau jd ustazah meme buleh tabarruj ko?"




Bagaimana dengan dialog-dialog di atas? Menarik? Bosan? atau tidak jelas kekelantannya? Apa yang saya pasti ialah akan ada yang terasa. Maafkan saya, "Katakanlah yang benar walaupun ia pahit."kul hakk walau kaana murron...

Apa itu tabarruj? Mungkin anda mengetahui maksud perkataan lain yang hampir serupa bunyinya iaitu;


tadarruj = beransur-ansur
tabarru' = membelanjakan harta untuk kebaikan
tadarus = membaca
taqarrub = mendekatkan


Subhanallah!! Cuba lihat keindahan dan sensitiviti perkataan bahasa arab yang akan berbeza makna walaupun hanya dengan sedikit perubahan. Berbalik kepada persoalan kita sebentar tadi, perkataan tabarruj ialah kata terbitan (masdar) bagi kalimah tabarraja. Secara mudahnya ia bererti menampakkan perhiasan, maksud yang lebih khusus pula ialah perbuatan seorang wanita yang menampakkan perhiasan, kecantikan, pakaian atau apa-apa sahaja yang boleh menarik perhatian lelaki yang bukan mahram. Sebenarnya terdapat banyak lagi tafsiran ulama dan pendapat ilmuan Islam mengenai definisi dan takrif perkataan tabarruj ini.


Berdasarkan pemerhatian dan sedikit ilmu yang saya ada, seolah-olah tabarruj ini dapat dikategorikan kepada dua jenis. Jenis yang pertama ialah tabarruj yang jelas, manakala yang kedua ialah tabarruj yang tidak jelas.


Apa yang saya maksudkan dengan tabarruj yang jelas ialah tabarruj atau cara menampakkan keindahan yang memang hampir semua orang Islam tahu bahawa ia adalah satu perbuatan tabarruj dan salah menurut Islam. Contohnya ialah orang yang menampakkan keindahan tubuh badannya dengan cara berpakaian ketat atau pakaian yang seksi, terbelah sana, berlubang sini dan terjerut sana-sini.


Apa yang saya maksudkan dengan tabarruj yang tidak jelas pula ialah tabarruj atau kaedah menampakkan keindahan dan kecantikan dengan cara yang tidak semua orang sedar dan tidak tahu bahawa itu ialah satu tabarruj kerana sekali pandang nampak biasa, sedangkan apabila dinilai dan dilihat semula dengan kaca mata Islam, ternyata bahawa ia merupakan satu kesalahan. Tabarruj jenis inilah yang ingin saya bincangkan dalam artikel kali ini.


Tabarruj jenis ini biasanya dilakukan oleh mereka yang mempelajari agama atau mempunyai latar belakang agama yang agak baik. Mereka berpakaian sopan, menutup aurat secara zahirnya, berjubah dan bertudung labuh. Sekali pandang pasti kita akan mengatakan bahawa mereka berpakaian seperti yang Islam mahukan, tidak seperti mereka yang jelas menampakkan anggota aurat atau bentuk badan yang memang tidak manis dipandang. Tapi, di manakah silapnya??



Mudah sahaja, cuba ingat kembali dialog-dialog di atas. Cuba fikirkan bagaimanakah ciri pakaian mereka? Mereka berpurdah, tapi jubahnya bagaikan cahaya mentari di tengah hari. Mereka bertudung labuh, tapi corak di jubahnya bagai ukiran emas bertatahkan berlian intan permata. Tiada lelaki yang melintasinya, melainkan akan 'terlekat' matanya pada si ustazah al-mutabarrijah. Kasihanilah kaum lelaki... Moga saya dikuatkan iman dan tidak terlekat mata saya pada al-mutabarrijah (wanita yang bertabarruj).


Biasa kita dengar bahawa Islam datang untuk meninggikan martabat wanita, untuk menyelamatkan maruah wanita. Tapi jangan hairan atau pelik jika ada yang kehilangan maruah dan martabat walaupun sudah berjubah dan bertudung labuh kerana tabarruj yang dilakukan.


Fenomena ini semakin menular dan merebak dengan cepat, tidak kira di Malaysia atau Mesir, ada saja orang yang mahu bertabarruj. Jika ingin juga, maka bertabarru'lah pada jalan Allah! bertaqarrublah kepada Allah! dan bertadaruslah dengan kalam Allah!



Jika di Aceh atau Kelantan, mungkin saya boleh melaporkan perkara ini kepada Wilayatul-Hisbah atau penguatkuasa syariah di sana. Tapi di sini atau di tempat lain, hanya pada Allah tempat saya mengadu.

Walaubagaimanapun, ini tidak bererti kita perlu berpakaian serabut, serabai, kusut, berkedut dan buruk. Ciri-ciri utama yang perlu ada pada pakaian kita ialah menutup aurat, bersih, kemas dan sopan. Itu sudah cukup dan memadai. Perlu diingat bahawa berhias di hadapan suami bukanlah suatu tabarruj, bahkan itulah yang dituntut dan boleh menjadikan seorang wanita sebagai isteri yang solehah kerana menggembirakan hati suaminya. Ingatlah wahai wanita, kecantikanmu adalah untuk suamimu.



Rasanya cukuplah sekadar ini, sama-samalah kita menginsafi diri kita. Mari kita tingkatkan kualiti diri, moga isteriku, adik perempuanku, ibuku, saudari-mariku, sahabiahku, tidak termasuk dalam golongan yang bertabarruj. Na'uzubillah...


No comments: